Ketua Menteri Sarawak Pemimpin Berjiwa Rakyat

Ketua Menteri Sarawak Pemimpin Berjiwa Rakyat

YAB DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) HAJI ADENAN BIN HAJI SATEM, KETUA MENTERI SARAWAK

Menang di 72 daripada 82 kerusi. Merampas balik lima daripada 12 kerusi milik DAP dan kuasai lapan daripada 16 kerusi majoriti Cina. Inilah ringkasan terbaik untuk menggambarkan kejayaan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Hj Adenan Hj Satem pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 yang lalu.

Adenan sekali lagi membuktikan beliau memiliki sentuhan perdamaian. Parti serpihan iaitu Teras dan UPP diminta supaya dibubarkan dan bergabung dengan komponen lain. Manakala calon-calon langsung BN diminta untuk menyertai mana-mana parti komponen BN sebagaimana yang disyaratkan Adenan sebelum ini.

Adenan telah membuktikan beliau seorang pemimpin fantastik dan tidak keterlaluan jika dikatakan faktor Adenan adalah antara punca kemenangan besar BN Sarawak. Pelbagai analisis dibuat mengenai kemenangan BN Sarawak. Malangnya, banyak yang dilihat dari sudut pandangan Semenanjung sehingga menjadi kurang tepat. Politik Sarawak mesti dilihat dari sudut pandangan Sarawak kerana padangnya berbeza. Isu-isu dan keutamaannya juga berbeza, apa yang relevan di Semenanjung mungkin tidak sesuai di Sarawak dan begitulah juga sebaliknya.

Memilih pasukan Adenan adalah yang terbaik berbanding pasukan caca-merba pembangkang yang bertanding sesama sendiri di hampir 30 kerusi DUN. Lagipun, semua parti pembangkang utama adalah berasal dari Semenanjung. Itu titik kelemahan pembangkang kerana rakyat Sarawak lebih percayakan parti tempatan yang disifatkan sebagai memahami mereka.

Kemenangan besar BN Sarawak, bukanlah indikator terbaik untuk mengukur kekuatan BN di Semenanjung. Di Semenanjung, realiti politiknya sedang mengasak BN dari pelbagai sudut. Semoga kemenangan BN di Sarawak turut memberikan impak positif kepada BN di Semenanjung. Adenan telah membuktikan tiada yang mustahil jika ada kesungguhan dan kemampuan. BN Sarawak telah menunjukkan kekuatan DAP di kawasan bandar hanyalah mitos dan boleh dilumpuhkan. Pencapaian ini bukanlah seperti bersiar-siar di Tebingan Kuching sebaliknya ibarat mendaki Gunung Santubong.

Bagaimanapun, banyak yang perlu dipelajari pemimpin BN di Semenanjung daripada gerak kerja Adenan. Tidak sukar untuk meneka formula kejayaan Adenan. Bukanlah juga rahsia sulit kerana beliau hanya menterjemahkan kehendak Najib supaya pemimpin BN mendahulukan rakyat dan menyelami denyut nadi rakyat. Hasilnya luar biasa, dalam tempoh dua tahun mengemudi Sarawak, Adenan memperkenalkan 53 sentuhan yang memukau rakyat. Menariknya, Adenan tidak suka menabur janji dalam membuat dasar prorakyat sebaliknya mengumumkannya apabila pelan penambahbaikan hampir siap atau sudah bersedia untuk dilaksanakan.

Adenan telah menunjukkan bagaimana untuk meraih sokongan rakyat melalui dasar-dasar yang menyentuh hati nurani mereka. Langkahnya wajar diteladani para pemimpin lain baik di peringkat negeri mahupun Pusat. Beliau juga terkenal kerana berani mempertahankan hak Sarawak dan secara terbuka mengupas tentang kedudukan Sarawak sebagai rakan yang sama taraf dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia. Isu Sarawak vs Semenanjung boleh dikategorikan sebagai ‘isu panas’ di Sarawak (tetapi sejuk di Semenanjung) namun Adenan tidak terbuai dengan emosi. Pendiriannya bersandarkan fakta dan hak yang termaktub. Beliau menuntut hak namun menolak idea keluar daripada Malaysia sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Sarawak 4 Sarawakians.

Melalui dasar beliau jugalah, ramai dalam kalangan masyarakat Cina yang biasanya kritikal kepada BN boleh menerima Adenan malah mereka bangga dengan Ketua Menteri itu (namun pada masa yang sama tetap kritikal kepada kerajaan Pusat). BN Sarawak selepas ini mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih besar dalam membuat desakan kepada kerajaan Pusat. Apa salahnya lebih perhatian diberi kepada Sarawak? Lagipun sudah sampai masanya untuk Sarawak dijadikan rakan yang sama taraf, berpaksikan semangat pembentukan Malaysia. Apa yang lebih penting, BN Sarawak telah sekian lama membuktikan kesetiaan mereka walaupun kurang diberi perhatian dalam era pentadbiran sebelum ini. Hari ini dan akan datang Sarawak memerlukan lebih banyak perhatian dan pembangunan seperti mana yang dikecapi oleh rakan-rakan di Semenanjung.


.

Laman ini mula dibangunkan pada 1 Mac 2016 dan beroperasi sepenuhnya pada 10 Mac 2016. Qing Xpress juga mempunyai akaun Twitter dan Fan Pages FB seperti mana yang tertera di sebelah kanan laman ini. Fokus utama laman ini adalah menyalurkan maklumat kepada masyarakat khususnya penduduk yang tinggal di Bahagian Limbang, Sarawak.

Ledakan pelbagai maklumat di laman media sosial pastinya sering kali mengelirukan kita dan ia juga akan mempengaruhi cara kita berfikir terhadap sesuatu perkara. Justeru itu, Qing Xpress cuba menyalurkan maklumat yang tepat dan benar kepada pengguna-pengguna media sosial melalui tiga saluran yang kami miliki. Oleh itu, jangan lupa ikuti perkembangan semasa di Bahagian Limbang melalui blog, twitter dan fan pages kami.

Qing Xpress lahir dari satu pasukan yang mempunyai kemahiran dalam mengedalikan media sosial, photographer dan videographer. Hasil gabungan kemahiran tersebut maka wujudlah ruangan khas di laman ini seperti Qing X TV dan Qing X 4To. Tugas utama seksyen Qing X TV ialah merakam aktiviti atau peristiwa yang berlaku di Bahagian Limbang dan menerbitkan video untuk dimuatnaik ke laman fan pages. Manakala Qing X 4To pula adalah galeri foto aktiviti atau peristiwa yang diambil oleh photograher kami. Disebabkan jumlah krew yang terhad, kami juga memviralkan video dan gambar dari laman media sosial dan sumber yang yang boleh dipecayai kesahihannya.




No posts.
No posts.
 
Copyright © 2016 Qing Xpress. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress